Siti Sofia Md Nasir


PARTI Amanah Negara (AMANAH) belum mengambil pendirian berhubung cadangan supaya Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 2016 (RUU 355) dibentangkan di Parlimen.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan bersama kepemimpinan AMANAH dalam mesyuarat yang diadakan parti itu pada setiap Selasa.

Katanya, ketika ini AMANAH dan komponen Pakatan Harapan (PH) lain memberi tumpuan utama kepada usaha membaik pulih ekonomi negara dan membanteras penyelewengan.

“Kami akan bincang dalam mesyuarat akan datang, selain turut mengambil pandangan daripada tokoh yang mahir dalam ilmu keagamaan.

“Namun, keutamaan kita ketika ini adalah untuk banteras rasuah dan penyelewengan kerana pembongkaran yang ditemui amat mengejutkan," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk Kampung Guar Petai di Tasek Gelugor, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, hari ini, yang mahu bekas pemimpin PAS yang kini Ahli Parlimen AMANAH, supaya menunaikan janji bagi membolehkan RUU 355 dibentangkan di Parlimen.

Mohd Amar dipetik berkata, sebelum ini pemimpin AMANAH mendakwa perlu membentuk kerajaan terlebih dahulu bagi membolehkan mereka bersuara di Parlimen.

April lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menetapkan sesi perbahasan RUU 355 akan berlangsung pada sidang Dewan Rakyat akan datang, yang dijangka diadakan pada Julai hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 9:12 PM
MOHAMAD Sabu (tengah) beramah mesra dengan penduduk dan penyokong pada majlis berbuka puasa di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, hari ini. FOTO Danial Saad
MOHAMAD Sabu (tengah) beramah mesra dengan penduduk dan penyokong pada majlis berbuka puasa di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, hari ini. FOTO Danial Saad