KERETA model lama yang diubah suai. FOTO Amirudin Sahib
KERETA model lama yang diubah suai. FOTO Amirudin Sahib
BERNAMA

PERSEPSI masyarakat mengenai kereta model lama kurang menjadi pilihan penjenayah untuk dicuri perlu diubah kerana sebenarnya ia antara 'barang panas' yang sering menjadi sasaran dalam kalangan penjenayah ketika ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kereta model lama buatan tempatan boleh dikatakan sering menjadi 'pilihan' penjenayah kerana nilai barang gantian yang terdapat pada kereta itu, selain wujudnya peluang untuk mencuri.

Menurutnya, di Cheras terdapat 1.33 juta penduduk dan ada beberapa kawasan yang tidak mempunyai tempat parkir yang teratur sehingga menyebabkan mereka terpaksa meletak kenderaan di luar pagar rumah termasuk di tempat letak kereta pangsapuri dan kondominium yang tidak ada pengawal keselamatan.

"Ini memberi peluang dan ruang kepada penjenayah untuk mencuri kenderaan ini dengan menggunakan peralatan seperti pembaris dan tidak memerlukan peralatan berteknologi tinggi.

"Saya mahu masyarakat untuk ubah persepsi mereka mengenai kereta lama tidak akan dicuri kerana kita sudah terima banyak kes," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, semalam.

Sementara itu, Mohamed Mokhsein berkata, 132 kes curi kereta dan 264 kes curi motosikal dilaporkan di Cheras dalam tempoh Januari sehingga semalam dengan 27 individu ditahan berbanding 366 kes curi kereta dan 562 kes curi motosikal dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Merujuk kepada indeks jenayah di daerah Cheras pula, katanya ia menunjukkan penurunan 16.17 peratus iaitu pengurangan 148 kes bermula Januari sehingga Khamis lalu.

Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, sebanyak 915 kes dicatatkan tahun ini berbanding 767 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 5:42 PM