ANTARA hasil samun yang berjaya dirampas. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA hasil samun yang berjaya dirampas. FOTO Ihsan Polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA lelaki ditahan polis selepas setengah jam memecah rumah dan melarikan barangan bernilai di Taman Midah, Cheras, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kedua-duanya berusia 39 dan 41 tahun itu berjaya ditahan di kawasan berhampiran ketika cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, terdahulu suspek memecah masuk rumah milik ahli perniagaan yang kemudian melaporkan kejadian itu.

“Susulan laporan, Ketua Polis Balai Cheras bersama anggota yang sedang membuat operasi cegah jenayah di kawasan berhampiran, menahan kereta jenis Proton Inspira dilihat mencurigakan.

“Ketika pemeriksaan cuba dijalankan, pemandunya memecut laju dan anggota polis mengejarnya sehingga di persimpangan jalan masuk Taman Midah,” katanya, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, kenderaan suspek melanggar motosikal seorang daripada anggota dan kedua-dua berjaya ditahan.

Katanya, dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah itu dan pemeriksaan kenderaan menemui pelbagai peralatan dan barangan dicuri antaranya kuku kambing, pemutar skru, telefon pintar, beg tangan, jam tangan, gelang tangan, buku pelaburan dan gelang kaki emas.

“Semakan kenderaan itu juga dapati ia kereta dilapor hilang di Seremban dan suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes pecah rumah,” katanya.

Suspek akan ditahan reman bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:09 PM