MAZLAN (kiri) mengedarkan risalah mengenai pencegahan jenayah kepada penumpang MRT, hari ini. FOTO ihsan polis.
MAZLAN (kiri) mengedarkan risalah mengenai pencegahan jenayah kepada penumpang MRT, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


INDEKS jenayah di daerah Cheras menunjukkan penurunan sebanyak 8.6 peratus iaitu pengurangan 113 kes bermula Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagi tempoh itu, sebanyak 1,202 kes dicatatkan tahun ini berbanding 1,315 kes pada tahun lepas.

“Kes curi motosikal adalah jenayah paling tinggi dicatatkan iaitu 419 kes bagi tahun ini berbanding 449 kes pada tahun lalu.

“Kes kes kedua tinggi adalah kes curi kereta dengan 255 kes tahun ini berbanding 275 kes tahun lalu.

“Namun, samun berkawan tanpa senjata menunjukkan sedikit peningkatan dengan 122 kes tahun ini berbanding 105 kes tahun lalu,” katanya selepas hadir ke program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Kuala Lumpur di Eko Cheras Mall, Kuala Lumpur, hari ini.

Program HPP itu anjuran bersama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Polis Kuala Lumpur; Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan pihak pengurusan Eko Cheras Mall.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

Ia bertujuan mendidik komuniti memainkan peranan penting dalam membanteras jenayah disamping menjadi mata dan telinga kepada polis serta memberi kesedaran tentang trend jenayah masa kini.

Mazlan turut bersama-sama komuniti menaiki Transit Aliran Massa (MRT) dari Stesen Taman Maluri hingga ke Stesen Taman Mutiara dalam usaha mempromosikan program HPP di sekitar kawasan MRT.

“Polis akan terus adakan program HPP dalam usaha menurunkan kadar indeks jenayah disamping memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Selain itu, orang ramai diseru untuk bersama-sama bantu polis dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan bandar Kuala Lumpur ini terjamin dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 11:37 PM