Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Anak-anak dah boring (bosan) dekat rumah... mereka memang dah sangat-sangat tak sabar nak ke sekolah," kata Nor Jas Suraya Ahmad, 46.

Suri rumah kepada empat anak itu berkata, mereka sudah membeli dan mempersiapkan hampir kesemua kelengkapan sebelum kerajaan mengumumkan sekolah tidak dapat dibuka pada saat-saat akhir sebelum ini.

"Saya sebagai ibu berasa sangat lega sekolah dapat dibuka semula 1 Mac ini kerana segala persiapan sedikit-sebanyak sudah dibuat sebelum ini.

"Cuma kita ada menambah sedikit beberapa peralatan dan mana-mana kelengkapan yang mungkin sudah tak muat lagi dipakai anak-anak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tersusun, Tasek di sini, hari ini.

Katanya, dua anaknya, Putera Izz Aiman, 7, Putera Rayyan, 8, akan memulakan sesi pembukaan semula sekolah pada 1 Mac ini.

"Mereka memang asyik bertanya berkali-kali bila boleh masuk ke sekolah semula. Apabila diberitahu dah boleh masuk sekolah mereka gembira dan teruja tidak terkata," katanya.

NOR Jas Suraya (dua kanan) dan Abdul Salim (kiri) membuat persiapan pakaian sekolah dua anak mereka, Putera Izz Aiman, 7, (kanan) dan Putera Rayyan, 8 (kiri) sebelum sesi sekolah bermula 1 Mac ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
NOR Jas Suraya (dua kanan) dan Abdul Salim (kiri) membuat persiapan pakaian sekolah dua anak mereka, Putera Izz Aiman, 7, (kanan) dan Putera Rayyan, 8 (kiri) sebelum sesi sekolah bermula 1 Mac ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Sementara itu, bapa pelajar, Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 47,pula berkata, mereka sekeluarga berharap Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan memantau mana-mana keluarga yang memerlukan bantuan daripada segi kewangan bagi fasa permulaan selepas sekolah dibuka semula ini.

"Semasa PKP semua orang terkesan, ada ibu bapa yang diberhentikan kerja, tidak dapat lagi berniaga dan sebagainya.

"Jadi kalau boleh pihak seperti PIBG yang paling dekat dengan ibu bapa dapat menyenaraikan nama pelajar daripada keluarga yang benar-benar terkesan sewaktu PKP ini untuk dibantu," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Katanya, ia juga sebagai langkah awal oleh pihak berwajib selepas beberapa kali berpengalaman menempuh fasa pembukaan dan penutupan sekolah dalam tempoh pandemik ini.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula 1 Mac ini bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua diikuti Tahun Tiga hingga Enam pada 8 Mac dan pelajar sekolah menengah pada April.

Berita berkaitan:

  • Persatuan bas sekolah tak jamin dapat sediakan perkhidmatan sepenuhnya
  • i-Guru sambut baik pembukaan sesi persekolahan
  • Penyuraian murid cabaran utama KPM [METROTV]
  • Persekolahan secara bersemuka bermula 1 Mac [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 5:06 PM