Wakil rakyat pembangkang mempertikaikan tindakan Lim yang sengaja mahu mengambil masa wakil rakyat lain untuk berbahas di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan BNPPortal
Wakil rakyat pembangkang mempertikaikan tindakan Lim yang sengaja mahu mengambil masa wakil rakyat lain untuk berbahas di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan BNPPortal
Veena Rusli


WAKIL Rakyat pembangkang hari ini bangkit membantah tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang meminta laluan untuk mencelah semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH PKR-Port Dickson) membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mereka menganggap tindakan Lim itu sengaja mahu ‘mencuri’ masa Ahli Parlimen lain berbahas dan mencelah kerana beliau mempunyai masa yang panjang semasa sesi penggulungan minggu depan.

Ahli Parlimen Bagan itu bangun meminta izin untuk mencelah sambil berkata kepada Anwar iaitu situasi yang janggal: “Ini bukan Ahli Parlimen biasa.”

Beliau kemudian mengambil sedikit masa memberi jaminan komitmen kerajaan tidak akan mengabaikan petani, nelayan, peladang dan pekebun kecil tulen.

“Kita akan memastikan ketirisan yang cuba diatasi tidak akan memangsakan mereka,” katanya.

Bukan menjadi kelaziman bagi menteri mencelah ketika sesi perbahasan dan tindakan Lim itu membuatkan beberapa Ahli Parlimen bangun menyuarakan bantahan, termasuk menyatakan beliau melanggar peraturan Dewan.

Tan Sri Annuar Musa (BN UMNO-Ketereh) menyifatkan Lim mengganggu masa wakil rakyat manakala Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) menegaskan menteri mempunyai peluang ketika sesi penggulungan minggu depan.

“Jawablah masa penggulungan nantilah,” celah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN UMNO-Pasir Salak) manakala beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain turut membantah.

Yang di-Pertua Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian menutup mikrofon semua Ahli Parlimen terbabit dan memberi peringatan supaya mereka menghormati pembahas sebelum memberi masa tambahan kepada Anwar menyambung perbahasannya.

Terdahulu Anwar meminta supaya kerajaan terus membantu golongan petani, nelayan, peladang dan pekebun kecil susulan pemotongan insentif terbabit menerusi Belanjawan 2019.

berkata, sebahagian besar kelompok masyarakat itu adalah kalangan miskin yang memerlukan bantuan kerajaan demi kelangsungan hidup.

“Saya harap bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan penoreh getah, subsidi baja padi, insentif pengeluaran padi diberikan. Insentif bersasar nelayan perlu dipastikan sampai ke kumpulan sasar.

“Begitu juga subsidi baja padi huma di Sarawak dan Sabah. Sudahlah mereka miskin, jumlah diperuntukkan pun cuma RM70 juta.

“Elaun sara hidup nelayan darat yang dulunya diperuntukkan RM12.5 juta, kini dipotong kepada RM3.5 juta,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar mengakui memahami rasional di sebalik pengurangan bantuan kepada kumpulan sasar berkenaan yang bertujuan menangani masalah agihan bantuan terdahulu.

Katanya, langkah perit itu perlu diambil bagi mengelak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa, selain memastikan agihan kepada kelompok sasaran dilaksanakan secara tuntas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:05 PM