MAYAT wanita berkenaan. FOTO Ihsan Polis
MAYAT wanita berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MAYAT wanita dipercayai warga asing dengan kesan tetakan di bahagian muka ditemui di ladang kelapa sawit Kelab Golf Tasik Puteri, Kundang, di Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan berkenaan pada 6 petang.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati mayat wanita tanpa pengenalan diri berusia 40-an ditemui terbaring dengan berpakaian lengkap.

"Berdasarkan pemeriksaan awal mangsa dipercayai warga asing. Terdapat kesan tetakan pada bahagian muka, kepala dan tapak tangan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Arifai berkata, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian dan tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi.

"Berdasarkan kepada keadaan mayat, dipercayai mangsa meninggal dunia lebih 48 jam.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi esok (hari ini)," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak Asisten Superintendan Kolanthaivelu Raman di talian 03-61262222 atau 019-2579232.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 8:26 AM