RAKAMAN video yang menunjukkan seorang lelaki cuba meragut wanita yang keluar dari sebuah restoran di Prima Sri Gombak, Sabtu lalu, yang tular di media sosial sejak hari lalu. FOTO Ihsan Pembaca.
RAKAMAN video yang menunjukkan seorang lelaki cuba meragut wanita yang keluar dari sebuah restoran di Prima Sri Gombak, Sabtu lalu, yang tular di media sosial sejak hari lalu. FOTO Ihsan Pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Tindakan pantas seorang wanita menjerit dan mengepit beg tangan miliknya berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki menyamun mangsa di hadapan sebuah restoran di Prima Sri Gombak, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 38 tahun keluar dari restoran berkenaan pada 7.35 malam.

"Mangsa tiba-tiba dihampiri seorang lelaki tidak dikenali dari arah tepi restoran yang cuba meragut beg tangan miliknya.

"Namun, suspek gagal kerana mangsa menjerit serta mengepit beg tangan miliknya menggunakan tangan kiri dengan kuat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, mangsa juga melihat seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai rakan kepada suspek yang sedang menunggu di luar kenderaan di hadapan restoran berkenaan.

"Selepas menjerit dengan kuat, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna merah.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan samun.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Khalpna atau Asisten Superintendan Kolanthai Velu talian 03-61262222 atau 019 2579232," katanya.

Terdahulu, dua video masing-masing berdurasi 24 dan 18 saat yang menunjukkan seorang lelaki cuba meragut wanita yang keluar dari sebuah restoran di Prima Sri Gombak, Sabtu lalu, yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 12:38 PM