Gambar daripada rakaman ‘dashcam’ kejadian lori merempuh beberapa kenderaan di  di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Gombak hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman ‘dashcam’ kejadian lori merempuh beberapa kenderaan di di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Gombak hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim

LORI tangki yang dipercayai mengalami masalah brek melanggar beberapa kenderaan dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Gombak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.31 tengah hari.

"Ketika kejadian, lori tangki yang dipandu lelaki berusia 67 tahun itu dipercayai mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan dan melanggar kenderaan lain.

"Setakat ini, tiga kenderaan dikenal pasti mengalami kerosakan, namun jumlah sebenar kenderaan terbabit kemalangan itu belum dapat dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata, berdasarkan laporan tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 03-61262222 atau 013-7557556.

Terdahulu, rakaman 'dashcam' berdurasi 1 minit 24 saat tular di media sosial menunjukkan lori tangki terbabas ke kanan jalan dan merempuh kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan berikutan kesesakan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 9:42 PM