Bukhari Yunus menoreh getah di kebunnya di Kampung Solok Limau Nipis, MAsjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Bukhari Yunus menoreh getah di kebunnya di Kampung Solok Limau Nipis, MAsjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


KEBANYAKAN penoreh getah di Alor Gajah, Melaka, enggan berpindah kepada kaedah penghasilan susu getah atau lateks kerana ia membabitkan proses rumit sedangkan harganya tidak terlalu jauh berbeza dengan penjualan getah beku.

Penoreh mendakwa terpaksa menunggu susu getah berhenti menitik antara empat hingga lima jam sebelum mampu membawa keluar hasil dari kebun berbanding hanya perlu menoreh dan meninggalkan getah membeku dalam mangkuk hingga menjadi getah beku atau sekerap.

Bukhari Yunus, 55, berkata, sejak menoreh pada usia 20 tahun, dia tidak pernah menghasilkan lateks kerana ia membabitkan kerja disifatkan rumit berbanding menghasilkan getah beku.

"Waktu itu harga getah tinggi tetapi sekarang harga getah sekerap cuma RM1.75 sekilogram. Jika saya buat getah cair (lateks) saya percaya harganya tidak terlalu tinggi hingga dua atau tiga kali ganda," katanya ketika ditemui di kebun getahnya di Kampung Solok Limau Nipis, Masjid Tanah, Melaka, tadi.

Dia mendakwa kini memperoleh antara RM100 hingga RM150 seminggu hasil daripada kegiatan menjual getah beku

pada harga purata antara RM1.70 hingga RM1.80 sekilogram.

"Jika saya buat getah cair, saya kena bekerja dari subuh hingga petang untuk menoreh, menunggu susu getah berhenti menitik, mengutip dan membawanya keluar dari kebun.

"Banyak masa yang perlu dihabiskan sedangkan ketika ini saya hanya perlu bekerja dari jam 7 pagi hingga 9 pagi untuk menghasilkan getah beku. Waktu yang terluang digunakan untuk mengambil upah bertukang," katanya.

Rabu lalu Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri, menggesa 9,723 pekebun kecil getah di Melaka berpindah kepada penghasilan lateks kerana ia mampu melonjakkan pendapatan sebanyak 30 peratus.

Katanya, RISDA bersedia membawa Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) membeli lateks daripada pekebun kecil, asalkan mereka bersedia melakukan anjakan dalam pengeluaran hasil komoditi itu.

Penoreh, T Ganasenaran, 63, berkata, dia memilih untuk menghasilkan getah beku berbanding getah cair kerana ia lebih mudah sesuai dengan tenaga dan usianya yang sudah lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:03 PM