Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan).
Oleh Norzamira Che Noh


RAKYAT negeri ini kini boleh membuat tempahan pinjaman buku melalui panggilan telefon atau aplikasi WhatsApp menerusi perkhidmatan Booksfly2U yang diperkenalkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkhidmatan itu diperkenalkan selepas mengambil kira keperluan masyarakat yang tidak mahu terputus daripada mengakses bahan bacaan fizikal daripada koleksi perpustakaan.

"BooksFly2U adalah inisiatif PPAS mengadaptasi normal baharu. Perkhidmatan ini adalah penyelesaian kepada masyarakat yang memerlukan buku fizikal.

"BooksFly2U membolehkan ahli Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam dan ahli di 103 perpustakaan PPAS yang lain di seluruh negeri, membuat tempahan pinjaman buku melalui panggilan telefon atau WhatsApp.

"Peminjam hanya perlu nyatakan judul buku ingin dipinjam melalui khidmat e-panggilan, petugas perpustakaan kemudiannya mencari buku berkenaan sebelum dikirim ke alamat peminjam," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Booksfly2U di lobi Bangunan Annex Selangor, hari ini.

Turut hadir Pengarah PPAS Mastura Muhamad.

Amirudin berkata, pemulangan buku boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah sama iaitu e-panggilan atau dihantar ke cawangan perpustakaan PPAS terdekat.

"Pinjaman buku perpustakaan masih percuma, setiap ahli boleh meminjam 10 naskhah buku.

"Hanya caj penghantaran e-panggilan yang perlu ditanggung peminjam," katanya.

Sementara itu, Mastura berkata, untuk lebih penjimatan dalam membayar perkhidmatan e-panggilan, petugas PPAS akan mencari serta menghantar buku dari perpustakaan daerah berdekatan dengan tempat tinggal peminjam.

Orang ramai boleh membuat tempahan buku dengan menghubungi talian 03-55197667 atau WhatsApp ke 010-8491448 pada setiap hari kecuali cuti umum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 4:47 PM