GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan memberi insentif RM500 kepada setiap penjaja yang menyertai konsep baharu perniagaan Ramadan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, oleh kerana tiada bazar Ramadan pada tahun ini, maka perniagaan makanan berkonsepkan tiga kaedah iaitu pandu lalu, bungkus dan ambil serta e-panggilan akan dilaksanakan.

“Pendaftaran itu akan dibuka pada 14 hingga 17 April. Kami memulangkan deposit untuk bazar Ramadan sebanyak RM120 sebelum ini dan akan beri insentif RM500 bagi setiap penjaja yang bersetuju mendaftar dalam program baharu ini,” katanya ketika siaran langsung melalui laman sosial Facebook, hari ini.

Katanya, insentif itu bagi membantu lebih 3,000 penjaja berdaftar untuk menampung caj perkhidmatan sekiranya mereka menggunakan perkhidmatan ‘e-hailing’ untuk penghantaran juadah berbuka puasa ketika PKP.

“Selain menggalakkan mereka berniaga, insentif itu juga dapat menampung sebahagian daripada fi yang dikenakan bayaran oleh penjaja kepada syarikat e-panggilan yang bertanggungjawab membuat penghantaran makanan kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan 66 wakil penganjur bazar Ramadan yang berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjelaskan kepada mereka akan garis panduan konsep baharu perniagaan Ramadan itu.

“Selepas mengadakan pertemuan, wakil (penganjur) serta DBKL perlu memutuskan tempat sesuai dengan jumlah ahli yang mahu menyertai program ini supaya pendaftaran untuk penghantaran e-panggilan dapat berjalan dengan lancar.

“Mereka (penjaja) perlu mendaftar dengan syarikat e-panggilan dalam masa empat hari sahaja iaitu 14 hingga 17 April bagi membolehkan persiapan aplikasi dapat dijalankan sebelum hari pertama puasa,” katanya.

Annuar berkata, setakat ini gerai masih boleh dibenarkan untuk menyediakan makanan sepanjang Ramadan namun hanya di kawasan yang ditetapkan sahaja.

“Kami perlu mengerahkan kira-kira 1,200 orang penguat kuasa terdiri daripada RELA dan DBKL untuk membantu menyelia kawasan itu bagi memastikan tidak berlaku kesesakan semasa pandu lalu atau bungkus dan ambil serta mematuhi jarak sosial yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, penumpuan kawalan kes Covid-19 membabitkan enam daripada 12 Parlimen di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang memasuki zon merah, membabitkan Bandar Tun Razak (42 kes), Titiwangsa (46 kes), Putrajaya (49 kes), Bukit Bintang (63 kes), Segambut (65 kes) dan Seputeh (328 kes).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 5:54 PM