FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Ibadah korban dibenarkan di Pulau Pinang, namun hanya 25 petugas sahaja dibenarkan menguruskannya di masjid, surau dan rumah penyembelihan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta.

Selain itu, petugas mestilah warganegara Malaysia berusia 21 hingga 60 tahun yang mahir melakukan ibadah korban selain memakai apron, pelitup muka dan sarung tangan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerusi kenyataannya berkata, had sembelihan di masjid dan surau sepanjang tempoh hari tasyrik iaitu 10,11,12 dan 13 Zulhijjah ialah lima ekor haiwan sehari manakala di rumah penyembelihan pula tiada had ditetapkan.

"Di masjid, jumlah sembelihan dibenarkan adalah 10 ekor bagi lembu, kerbau dan unta, manakala 20 ekor kambing.

"Sementara, di surau pula ditetapkan lima ekor bagi lembu, kerbau dan unta serta 10 ekor kambing," katanya hari ini.

Katanya, ahli jawatankuasa perlu menetapkan pintu utama laluan masuk dan keluar dengan jarak setiap tempat korban ialah 4.5 hingga enam meter.

Mengulas lanjut JHEAIPP berkata, petugas tidak dibenarkan berkongsi peralatan kerja penyembelihan, melapah dan memotong serta perlu membawa sendiri peralatan yang sudah disanitasi.

Menurutnya, pengurusan ibadat itu perlu melalui permohonan dan kelulusan daripada Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing yang menjadi syarat utama kepada PBT dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Borang permohonan perlu mengandungi maklumat seperti tarikh pelaksanaan, anggaran jenis dan jumlah haiwan korban, cadangan lokasi tempat penyembelihan, susun atur khemah atau meja dan kaedah pengedaran serta pengagihan daging korban.

"Aktiviti akikah, memasak daging korban atau jamuan di tempat pelaksanaan juga tidak dibenarkan manakala daging pula perlu diagih ke rumah.

"Pihak jawatankuasa disyorkan supaya melantik sukarelawan atau badan beruniform bagi membantu mengawal pergerakan dan keselamatan.

"Penetapan garis panduan berkenaan adalah seiring dengan normal baharu dalam mengekang penularan Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:29 PM