FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Aizat Sharif


Arau: Semua masjid di Perlis dibenarkan untuk menjalankan ibadah korban namun tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan semasa yang ditetapkan kerajaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menjelangnya Aidiladha, pihaknya sudah memperkenankan beberapa perkara.

"Pelaksanaan ibadah korban oleh jabatan atau agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) pula adalah tertakluk kepada keadaan penularan dan perkembangan semasa wabak.

"Pelaksanaan ibadah korban seperti penyembelihan haiwan korban hanya boleh dilakukan di kawasan berikut iaitu rumah sembelihan milik kerajaan atau swasta, masjid dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs)," titahnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) bertitah, dalam masa yang sama juga, surau dan sekolah agama tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti ibadah korban buat masa ini.

"Tiada aktiviti jamuan atau kenduri yang dibenarkan sebagai langkah kawalan memandangkan suasana penularan pandemik Covid-19 masih di tahap yang membimbangkan.

"Pihak yang bercadang untuk mengelola ibadah korban di Perlis hendaklah mengemukakan Borang Permohonan Ibadah Korban Tahun 1442H/2021M Negeri Perlis kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya tujuh hari dari tarikh 10 Zulhijjah 1442 Hijrah.

"Pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadah korban, diminta supaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah pencegahan.

"Pemakluman berkaitan perincian SOP pelaksanaan ibadah korban dan borang akan dimaklumkan kelak dan bergantung kepada keadaan penularan dan perkembangan semasa," titahnya lagi.

Baginda menjelaskan sebagai langkah persediaan untuk solat Aidiladha di tanah lapang, pengurusan masjid adalah diminta untuk melaksanakan persiapan awal dan mengambil langkah proaktif.

"Harapan beta agar aktiviti pengimarahan berkaitan Aidiladha dapat dibenarkan kepada semaksimum mungkin jemaah.

"Namun begitu, buat masa ini MAIPs sedang mempertimbangkan keutamaan kepada mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 untuk menyertai aktiviti pengimarahan Aidiladha, selain dapat diizinkan menyertai solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan aktiviti lain di masjid kelak," katanya.

Baginda mengharapkan seluruh rakyat agar terus mematuhi setiap ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan juga kerajaan.

Aidiladha pada tahun ini dijangka disambut pada 20 Julai depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 10:04 AM