LAPORAN terbitan agensi berita antarabangsa, Al Jazeera didapati ada fakta tidak tepat dan cenderung memburukkan nama Malaysia.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, justeru, Jabatan Peguam Negara mengarahkan satu siasatan dijalankan terhadap Al Jazeera.
"Negara mempunyai undang-undang dan ia amat mudah dipatuhi demi menjaga keharmonian masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama dan kaum.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendukung prinsip kebebasan media yang 'bertanggungjawab' namun laporan (dokumentari) berkenaan jelas menimbulkan kemarahan orang ramai," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara dan mendapati ada unsur hasutan.
"Hari ini seramai enam kakitangan sudah dipanggil untuk memberi keterangan, kita hanya panggil mereka sebagai saksi dan mereka menjawab beberapa soalan.
"Selepas itu, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan atau tidak," katanya.
Beliau berkata, PDRM menjalankan tugas dengan adil dan memberi jaminan siasatan dilakukan dengan baik.
"Saya menyeru kepada orang ramai supaya mengawal perasaan masing-masing, siasatan masih dijalankan.
"Kepada mana-mana media antarabangsa atau tempatan yang menerima sebarang ugutan boleh tampil dan polis sedia membantu," katanya.
Berita berkaitan: