AHMAD Marzuk Shaary (kiri) mengislamkan  Batin Pos Titom, Ramli Bahminhan, 56, ( kanan) di Pos Titom. FOTO Roselan Ab Malek
AHMAD Marzuk Shaary (kiri) mengislamkan Batin Pos Titom, Ramli Bahminhan, 56, ( kanan) di Pos Titom. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


"SAYA berasa bertuah, terharu dan gembira serta lebih tenang selepas memeluk agama Islam, lebih-lebih lagi saya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary," kata Rosni Harun, 18.

Anak kelahiran Pos Titom di Lipis yang kini menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan menyifatkan dirinya bertuah dan ingin menghayati ajaran Islam secara lebih mendalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka hatinya terdetik untuk memeluk agama Islam di kampungnya sendiri selepas sekian lama menyimpan hasrat itu apabila banyak bergaul dengan masyarakat Melayu di sekolah.

Sementara itu, Tok Batin Pos Titom, Ramli Bahminhan, 56, berkata, dia tidak berasa akan terasing selepas memeluk Islam kerana sering bercampur dengan orang Melayu dan Orang Asli di kampung lain yang sudah memeluk Islam.

"Sebelum ini, ramai yang menganggap saya sudah beragama Islam kerana cara hidup saya seperti orang Islam, tambahan pula tiga anak saya sudah terlebih dahulu memeluk agama Islam sebelum ini.

"Saya berharap pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dapat menyediakan guru agama untuk membimbing kami khususnya dalam cara solat dan amalan seharian yang tidak bercanggah dengan Islam.," katanya.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, JAKIM akan terus mendekati masyarakat Orang Asli melalui bahagian dakwah dengan menghantar guru agama untuk rmembantu mempertingkatkan kefahaman Islam dalam kalangan mereka yang sudah memeluk Islam.

Menurutnya, pasukan penggerak ini selain menjaga kebajikan Orang Asli turut menjalankan kerja dakwah.

"Usaha berterusan ini dilakukan baik di kawasan bandar dan luar bandar bagi memastikan pemantapan ajaran Islam kepada masyarakat Orang Asli yang sudah memeluk Islam tidak terabai.

"Kita juga mengambil pendekatan turun padang, mendekati secara langsung kumpulan sasar di peringkat akar umbi, bertujuan supaya pendakwah dapat menyelami dengan lebih dekat denyut nadi mereka" katanya.

Beliau berkata demikian selepas program agihan sumbangan Tabung Musa'adah kepada 50 keluarga dan Majlis Syahadah Orang Asli di Pos Titom semalam.

Di majlis itu, seramai lapan orang masyarakat Orang Asli Pos Titom memeluk agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 3:29 PM