Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tidak terlintas di fikirannya untuk memeluk Islam, namun petunjuk yang diberikan melalui mimpi menyebabkan hatinya tergerak untuk lebih mengenali Islam.

Siti Hawa Mokhtar, 19, yang juga Orang Asli berketurunan suku Temiar berkata, dalam mimpi itu, dia melihat dirinya dibelit seekor ular yang besar dan mula mencari jawapan di sebalik mimpi yang dialaminya.

Katanya, dia bertanya kepada rakan yang beragama Islam, selain turut mencari tafsiran mimpi itu melalui internet dan mimpi yang dialaminya itu membawa maksud seksaan kubur terhadap mereka yang melakukan dosa.

"Alhamdulillah... saya mendapat petunjuk daripada Allah SWT sebelum mengucap dua kalimah syahadah pada Disember tahun lalu di hadapan seorang pegawai agama Islam dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pada waktu itu berada di kampung halaman saya di Kampung Kuala Wok, Gua Musang.

"Selepas memeluk Islam, saya berasa lebih tenang kerana kehidupan lebih terurus dan tersusun walaupun sederhana," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA), Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan, di Kok Lanas, di sini.

Katanya, sebelum ini, dia kerap menonton ceramah mengenai Islam di media sosial kerana tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai agama Islam.

"Saya banyak menonton ceramah daripada penceramah bebas dan kata-kata indah yang disampaikan oleh mereka mengenai Islam menyebabkan saya terbuka hati untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama ini.

"Antara pendakwah bebas yang diminati termasuklah Ebit Lew serta Prof Dr Abdul Somad Batubara dan saya sering kali menonton ceramah yang disampaikan oleh dua figura hebat ini," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui keputusan untuk memeluk Islam, mendapat tentangan hebat daripada keluarganya yang beragama Kristian.

"Saya mengambil masa hampir sebulan untuk memujuk ibu supaya menerima agama yang baru dianuti," katanya.

Anak kelima daripada lapan beradik ini berkata, sebaik memeluk Islam dan bagi memantapkan lagi tahap pengetahuan dalam bidang agama, pada Februari lalu, dia datang ke Pondok Pengajian Islam (PPI) di Kok Lanas untuk mendalami serta mempelajari lebih mendalam mengenai Islam.

"Sebaik memeluk Islam, fokus saya adalah utama untuk mencari dan mendalami ilmu mengenai agama ini sebanyak yang mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak.

"Saya memeluk Islam atas kerelaan hati sendiri dan sebagai orang baru, banyak lagi yang saya perlu belajar serta mendalami dalam ilmu agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 8:20 AM
Siti Hawa Mokhtar belajar di Pondok Pengajian Islam (PPI) di Kok Lanas bagi memantapkan lagi tahap pengetahuan dalam bidang agama pada Februari lalu serta mempelajari lebih mendalam mengenai Islam. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Siti Hawa Mokhtar belajar di Pondok Pengajian Islam (PPI) di Kok Lanas bagi memantapkan lagi tahap pengetahuan dalam bidang agama pada Februari lalu serta mempelajari lebih mendalam mengenai Islam. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI