Zuliaty Zulkiffli


LELAKI maut digilis beberapa kenderaan selepas motosikal ditungganginya bersama rakan hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 55.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam, Mohd Ismail Md Isa, 46, dari Kampung Seberang Pendang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius manakala pembonceng, Muhammad Khairil Anuar Muhammad Rodzi, 27, dari Kampung Alor Selut, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.30 tengah malam memaklumkan kemalangan itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati Yamaha 135LC mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tempat kejadian.

“Akibat daripada itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong kanan lebuh raya menyebabkan dia digilis beberapa kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pembonceng motosikal yang terjatuh di lorong kecemasan pula parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Arriz Sham berkata, mayat dihantar ke HSB untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 10:57 AM