Amir Abd Hamid


SEPASANG suami isteri sanggup membawa dua anak kecil berusia satu dan tiga tahun dalam urusniaga ganja bernilai puluhan ribu ringgit.

Suspek lelaki tempatan dan isterinya warga Indonesia itu adalah antara lima ditahan dalam serbuan di Bandar Puchong Jaya, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan 12.10 tengah malam itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor selepas mendapat maklumat dan risikan.

"Dalam serbuan terhadap tiga kenderaan itu, tujuh suspek yang terdiri lima dewasa ditahan membabitkan tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia.

"Namun dua kanak-kanak iaitu seorang perempuan dan seorang lelaki yang dibawa ibu bapa mereka sudah pun dibebaskan.

"Dua kanak-kanak itu adalah mangsa keadaan ketika ibu bapa mereka melakukan urus niaga dadah dipercayai ganja kira-kira seberat 49.4 kilogram (kg) dalam bentuk 50 ketulan dengan anggaran nilai RM88,965," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

Susulan itu, katanya, serbuan kedua dilakukan pada hari yang sama di sebuah rumah di Bandar 16 Siera, Puchong pada 4.40 pagi.

Arjunaidi berkata, dalam serbuan itu mereka berjaya merampas 98 ketulan mampat dipercayai ganja dianggarkan seberat 97.20 kg dengan nilai kira-kira RM174,816.

"Siasatan awal mendapati dadah dipercayai ganja ini dibawa masuk melalui pantai timur dari negara jiran.

"Kemungkinan barang terlarang ini dibawa masuk sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya sekarang nak diedarkan, itu masih siasatan. Edaran adalah sekitar Lembah Klang," katanya.

Katanya, semua lima suspek berusia 29 hingga 49 tahun ditahan reman selama lima hari untuk siasatan.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Turut disita dua kereta jenis masing-masing Peugeot dan Proton Wira.

"Wang dalam akaun RM247,494 selain wang tunai RM20,000 juga disita," katanya.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (tiga dari kiri) melihat ketulan mampat ganja bersama pegawai kanan PDRM dalam sidang media berkaitan tangkapan dan rampasan ganja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Bandar Kinrara. FOTO AIZUDDIN SAAD
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (tiga dari kiri) melihat ketulan mampat ganja bersama pegawai kanan PDRM dalam sidang media berkaitan tangkapan dan rampasan ganja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Bandar Kinrara. FOTO AIZUDDIN SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 5:48 PM