Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Seorang pekerja bengkel ditahan bersama 70 ketulan mampat ganja seberat 63.12 kilogram bernilai RM157,800.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada serbuan di rumah di Yong Peng di sini, 8.30 malam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah serta negatif dadah hasil ujian saringan air kencing dijalankan.

"Suspek menjadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria sebagai stor penyimpanan dadah itu selain menggunakannya untuk perkhidmatan penghantaran ke seluruh Johor.

"Serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman," katanya pada sidang media di IPD Batu Pahat hari ini.

ISMAIL Dollah (dua dari kiri) bersama sejumlah 70 ketulan ganja mampat barang rampasan pada sidang media di IPD Batu Pahat, Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
ISMAIL Dollah (dua dari kiri) bersama sejumlah 70 ketulan ganja mampat barang rampasan pada sidang media di IPD Batu Pahat, Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat

"Suspek aktif mengedar dadah sejak awal Mac ini dan ganja itu dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran negeri ini," katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Suspek direman enam hari sehingga 1 April ini bagi membantu siasatan.

Polis masih mengesan individu yang turut terbabit dengan suspek untuk mengedar dadah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 1:03 PM