Fazrik Kamarudin


BAHAGIAN Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan tujuh penuntut lelaki kolej swasta termasuk seorang bekas penuntut kerana disyaki terbabit dalam kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Puchong, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, turut dirampas dalam serbuan itu dadah disyaki jenis ganja seberat hampir dua kilogram bernilai RM4,500.

"Serbuan pertama dilakukan pada 11 malam apabila kami menahan kereta yang dinaiki dua suspek disyaki pengedar dadah. Selepas disoal siasat mereka membawa polis ke pangsapuri di Bandar Puchong Jaya.

"Lima individu yang berada di dalam ketika serbuan ditahan dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu polis menemui tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1.87 kilogram dan dua buah botol diubahsuai jadi peralatan menghisap ganja," katanya dalam sidang media, Serdang, hari ini.

Ismadi berkata, kesemua suspek berusia di antara 21 hingga 24 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis depan.

"Lima daripada mereka positif ujian air kencing dadah jenis THC, hasil soal siasat mendapati bekalan dadah diperolehi daripada seorang pengedar dadah di salah satu daerah di Selangor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta yang sama," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Pasukan 42, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Serdang menahan empat lelaki kerana disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram, semalam.

Ismadi berkata, keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan pada 2.30 pagi selepas pemantauan lebih tiga jam di kawasan sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

"Ketika pemantauan, anggota saya mendapati suspek melakukan aksi-aksi bahaya menggunakan empat motosikal yang turut disita.

"Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah curi kenderaan sementara ujian saringan air kencing mereka semuanya negatif.

"Kesemua suspek direman selama dua hari dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) (A) Akta Pengaangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:05 PM
ISMADI ketika sidang media  di Ibu Pejabat Daerah Serdang . FOTO Mohd Yusni Ariffin
ISMADI ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Serdang . FOTO Mohd Yusni Ariffin