MEGAT Mohamad  (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
MEGAT Mohamad (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Serdang: Tukang masak warga Nigeria yang menjadikan tempat kerjanya sebagai lokasi mengedar dadah jenis ganja ditahan di rumahnya di Seri Kembangan, Sabtu lalu.

Warga Nigeria berusia 42 tahun ditahan bersama kekasihnya berusia 32 tahun dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek yang tidak mempunyai permit kerja bekerja sebagai tukang masak di restoran di Seri Kembangan dan dia disyaki mengedar dadah jenis ganja di sekitar lokasi tempat kerjanya termasuk kepada pelanggan restoran.

"Ketika serbuan dijalankan di rumah suspek, polis menemui 24 plastik ganja yang sudah dipek seberat 150 gram dan 10 ketulan ganja sebanyak 727.6 gram.

"Jumlah ganja yang dirampas ialah sebanyak 877.68 gram dengan nilai rampasan RM2,000," katanya ketika sidang media di IPD Serdang di sini, hari ini.

Megat berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif ganja dan dia bersama kekasihnya direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksten 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 3:09 PM