MOHD Farid menunjukkan menu RM2.50 yang dijualnya. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
MOHD Farid menunjukkan menu RM2.50 yang dijualnya. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi


BERPEGANG kepada prinsip berkongsi rezeki, bekas tukang masak hotel memperkenalkan menu serendah RM2.50 di kedai makan miliknya sejak lebih setahun lalu.

Usaha yang dilakukan Mohd Farid Mohd Tahir, 35, ternyata berbaloi kerana keenakkan dan saiz hidangan setiap menu yang dijual setanding dengan restoran lain yang menawarkan harga lebih tinggi.

Terdapat lebih 30 menu disediakan seperti aneka nasi goreng, nasi putih bersama pelbagai lauk-pauk selain makanan Barat.

Mohd Farid berkata, dia turut menyediakan set menu bersama air dan hidangan sampingan pada harga RM5.50 dan minuman pula dijual bermula RM1 hingga RM2.50 termasuk air buah.

Menurutnya, dia tidak mahu terlalu berkira dan mengakui tidak kisah jika keuntungan yang diperolehi sedikit kerana setiap rezeki yang dikongsi pasti tidak akan putus.

"Ramai juga yang tanya adakah berbaloi saya jual harga rendah, tetapi bagi saya untung sedikit pun tak apa asalkan lepas kos barang, sewa kedai dan gaji pekerja itu sudah cukup.

"Selain itu, ini juga cara saya berkongsi rezeki kerana Manjung adalah kawasan perindustrian dan ramai anak muda hidup bujang.

"Jadi dengan harga rendah seperti ini secara tidak langsung dapat membantu mereka berjimat-cermat terutama pada tengah bulan," katanya ketika ditemui di kedainya di Fasa 1E1, Seri Manjung.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, biarpun kos sara hidup semakin tinggi dan kini berada dalam fasa pemulihan pasca Covid-19, namun dia tetap mengekalkan harga makanan.

"Alhamdulillah, sambutan begitu menggalakkan," katanya yang berpengalaman sembilan tahun sebagai tukang masak hotel.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Aliman Abd Ghani, 23, berkata pada mula dia terkejut kerana harga agak rendah sedangkan saiz hidangan sama seperti di kedai biasa yang harganya lebih tinggi.

"Saya sudah dua kali datang makan di sini. Memang sangat berbaloi dengan harga yang murah dan saiz hidangan pula besar.

"Setakat ini, belum jumpa nasi putih dan ayam butter dijual pada harga RM2.50 di tempat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 4:23 PM