GERAI jualan nasi bajet Nurul Hashima yang menyediakan beberapa menu menarik dengan harga hanya RM3.50 sebungkus.
GERAI jualan nasi bajet Nurul Hashima yang menyediakan beberapa menu menarik dengan harga hanya RM3.50 sebungkus.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Petaling Jaya: Pengalaman 'diketuk' sehingga terpaksa membayar RM7 untuk separuh nasi putih, sesenduk sayur dan sekeping ikan masin mencetuskan idea kepada seorang suri rumah menjual nasi bajet berharga RM3.50 sejak tiga tahun lalu.

Ini detik mengecewakan dilalui Nurul Hashima Abu Aris, 42, yang kini menjual nasi bajet dengan empat jenis lauk di hadapan Surau Al-Falah, Seksyen 6, Kota Damansara di sini, sekali gus dapat membantu orang ramai mengisi perut mereka di waktu malam.

Menurutnya, dia mula berniaga nasi bajet ketika negara berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ramai yang terjejas selain mahu berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, usahanya itu mendapat sokongan daripada suami Mohd Khairul Azam, 47, dan turut dibantu anak lelaki sulung yang kini melanjutkan pelajaran di universiti.

"Nasi bajet ini ada empat jenis lauk yang dijual setiap petang. Dua adalah lauk wajib iaitu ayam masak merah dan kicap, masing-masing satu lauk daging dan ikan. Kadangkala ada juga lauk udang atau sotong, tetapi bergantung pada harga pasaran juga.

"Ayam saya akan potong 14 dan saiznya tidak kecil atau besar sangat. Ia sesuai sekali makan atau mengalas perut waktu malam, dan begitu juga dengan saiz ikan, cuma ikan tongkol saja kita akan potong lima atau empat bahagian.

"Kita memang pilih saiz seekor ayam dan ikan supaya tidak terlalu kecil sangat kerana kasihan juga jika pelanggan dapat yang kecil kerana kita mahu mereka rasa berbaloi juga beli nasi bajet biarpun harganya hanya RM3.50," katanya.

Katanya, sebelum ini dia hanya menjual antara 60 hingga 80 bungkus nasi, tetapi kini sebanyak 180 hingga 200 bungkus nasi dijual sejak tahun lalu kerana mendapat permintaan tinggi.

"Nasi berlauk turut diletakkan timun sebagai ulam. Pelanggan yang beli nasi bajet dari semua kaum dan untuk yang kurang berkemampuan atau kanak-kanak, biasanya saya beri nasi percuma saja.

"Nasi bajet akan habis terjual pada jam 6.40 petang dan kami berniaga dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 5 petang. Setakat ini pelanggan beritahu nasi bajet berbaloi dan cukup untuk makan malam," katanya.

Menurut Nurul Hashima, dia masih tetap mengekalkan harga kerana boleh membantu orang lain terutama mereka yang susah walaupun hanya mendapat keuntungan sedikit.

Katanya, untuk terus bertahan, dia sentiasa melihat barang mentah yang dibelinya seperti harga dan saiz, malah mengakui ada pembekal yang menjual dengan harga berpatutan.

"Kita perlu mengira kos harian dan seperti saya sudah ada pembekal yang saya selalu beli barang untuk bekalan lima hari, jadi mudah nak kawal harga apabila beli banyak.

"Pilihan saiz juga main peranan dan saya pilih sederhana...pokoknya biar harga itu sesuai dengan barang yang kita beli dan mahu jual," katanya.

Katanya, pengalaman hidup yang pernah merasai kesukaran hidup dulu juga membuatnya memahami saat sukar dan mahu berkongsi rezeki dengan orang lain.

"Sejak kecil memang saya diajar berdikari dan kreatif. Saya mula berniaga sejak sekolah rendah dengan niat tolong mak beli makanan, bagi adik belanja sekolah dan beli buku.

"Satu kepuasan apabila rasa tenang dan lebih fleksibel kerana dapat tolong orang susah. Alhamdulillah, saya dapat bantu lebih 30 keluarga sepanjang PKP lalu dengan bagi barang keperluan dapur dan barangan bayi," katanya.

Sementara itu, katanya, Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan ketika ini juga adalah satu inisiatif yang baik untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

"Sebenarnya dalam perniagaan kita perlu melihat apa yang dijual itu dan kita tidak boleh pukul rata semuanya. Memang makanan berlauk ini ada dijual murah, ada yang mahal.

"Kalau kita dapat bekalan murah, mesti akan jual murah dan kalau bekalan mahal terpaksa naik harga... cuma jangan terlalu main harga.

"Dalam berniaga, semua mahu keuntungan walaupun sedikit dan saya sendiri biarpun untung sikit tetapi saya puas hati, janji rezeki itu berkat," katanya sebelum ini mengusahakan perniagaan Home Food Delivery.

Pengusaha restoran dilihat turunkan harga makanan

Johor Bahru: Menu Rahmah yang menawarkan harga serendah RM5 turut mendorong beberapa pengusaha restoran di sekitar bandar raya ini untuk menurunkan harga makanan di premis perniagaan masing-masing.

Meskipun tidak menawarkan hidangan berkenaan, ada peniaga dikatakan menurunkan harga makanan kerana 'tempias' inisiatif Menu Rahmah.

Pelanggan tetap restoran mamak, Huzaifah Basyeer, 54, berkata, dia mengesan berlaku penurunan harga antara 20 ke 30 peratus bagi makanan di restoran yang kerap dikunjunginya meskipun restoran itu tidak terbabit program Menu Rahmah.

"Saya terkejut apabila harga makanan di beberapa restoran juga turun sejak program Menu Rahmah diperkenal kerajaan malah sesetengah pengusaha menurunkan harga mungkin sebagai strategi perniagaan untuk tarik perhatian pelanggan.

"Ia lebih murah kira-kira RM2 hingga RM3 berbanding harga sebelum ini dan diharap lebih banyak pengusaha restoran menurunkan harga makanan bagi meringankan beban penduduk," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik sebuah restoran, Shukri Samin, 62, berkata, dia menurunkan harga makanan tertentu, bergantung kepada penggunaan bahan mentah.

"Sesetengah menu memang tidak dapat diturunkan harga kerana barangan masakan adalah mahal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, gerak kerja bagi memperkasakan program Menu Rahmah RM5 sedang dijalankan di Johor dalam usaha membantu golongan B40.

"Setakat ini hanya pasar raya Mydin menyahut inisiatif ini dan diharap lebih ramai pengusaha restoran tampil.

"Pihak kami juga akan memantau pelaksanaan program berkenaan dari semasa ke semasa apabila ia diperluas di Johor," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:30 PM