HARGA sepinggan mi goreng di bandar Miri mencecah RM6.
HARGA sepinggan mi goreng di bandar Miri mencecah RM6.
BURGER daging dijual dengan harga RM3.
BURGER daging dijual dengan harga RM3.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Tindakan sesetengah pemilik restoran dan peniaga menaikkan harga makanan serta minuman di bandar raya ini disifat­kan sebagai melampau serta tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Metro Ahad mendapati peniaga menjual segelas kopi RM2.50 hingga RM3, manakala nasi goreng biasa RM6 sepinggan.

Situasi itu bukan saja berlaku di restoran, malah peniaga gerai tepi jalan juga meletakkan harga mahal.

Penduduk, Norhakiyah Abd Karim, 27, berkata, harga makanan menjadi lebih mahal jika premis terletak dalam pasar raya atau pusat beli-belah.

Menurutnya, dia pernah dikenakan bayaran sehingga RM30 untuk hidangan dua pinggan nasi goreng dan minuman ketika menjamu selera di sebuah kedai makan di Boulevard di sini.

“Saya bukan hendak merungut dan berkira tetapi RM30 untuk hidangan nasi goreng biasa dan minuman saja memang tidak berbaloi.

“Peniaga cuba mengambil kesempatan, adakala kita tidak akan menyangka harga makanan yang dijual di tepi jalan lebih mahal berbanding membeli makanan di restoran makanan segera,” katanya ketika ditemui.

Norhakiyah berkata, dia tidak menafikan bukan semua kedai meletakkan harga makanan yang tinggi, ada juga peniaga menawarkan harga jualan yang berpatutan.

“Apa yang penting, pengguna harus bijak memilih. Tindakan peniaga meletakkan harga terlalu mahal sebenarnya akan merugikan mereka.

“Mungkin mereka mendapat keuntungan berganda dalam tempoh singkat, tetapi pada masa akan datang mereka mungkin kehilangan pelanggan selepas mengetahui kadar bayaran yang dikenakan tidak berbaloi buat mereka,” katanya.

Pelancong tempatan Nabila Razak, 27, berkata, pengalaman mengunjungi bandar raya ini mengejutkan kerana harga makanan di sesetengah tempat tinggi.

“Harga biasa bagi segelas teh ‘O’ ais lazimnya RM2. Itu harga jualan di kedai biasa, bukan di dalam pasar raya atau premis yang terkenal.

“Saya pernah berkunjung ke sebuah restoran dan terpaksa membayar nasi goreng biasa dengan harga RM6 tanpa lauk. Apabila ditambah seketul ayam goreng, saya dikenakan RM8,” katanya yang berasal dari Sepang, Selangor.

Nabila berkata, sepanjang berkunjung di bandar raya ini, dia lebih suka membeli makanan di premis makanan segera kerana harganya lebih murah.

“Di kedai makanan segera, ada hidangan makanan yang dijual kurang daripada RM10. Kalau perlu membayar lebih pun, hidangan yang diterima lebih memuaskan hati.

“Sebagai pelanggan, saya akan lebih berhati-hati dan hanya memilih kedai makanan yang menawarkan harga berpatutan untuk dikunjungi,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga makanan yang eng­gan namanya didedahkan berkata, kebanyakan peniaga meletakkan harga tinggi kerana harga bahan mentah dan keperluan dapur mahal.

“Saya tahu ada yang mengatakan peniaga kedai makanan sepatutnya menurunkan harga jualan kerana harga minyak (petrol dan diesel) sudah jauh lebih murah.

“Hakikatnya, harga barangan di kedai dan pasar masih sama, kami tidak ada pilihan.

“Sebab itu, ada peniaga terpaksa menaikkan harga kerana tidak mahu menanggung kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:02 AM