Raja Noraina Raja Rahim


KEBENARAN membuka semula sekolah dan madrasah tahfiz mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, KPM akan mengumumkan mengenai tarikh permulaan sekolah selain dari Tingkatan Lima dan Enam.

Katanya, pembukaan semula sekolah dan madrasah tahfiz itu perlu mengikut tarikh pembukaan sesi persekolahan di bawah KPM.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon supaya sekolah tahfiz dibuka.

"Oleh itu mesyuarat khas bersetuju untuk membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula cuma tarikhnya berdasarkan tarikh sekolah dibuka.

"Jika sekolah diumumkan dibuka, maka tarikh sama juga sekolah tahfiz boleh beroperasi," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

PELAJAR berbaris dengan penjarakan sosial ketika membeli makanan di kantin ketika tinjauan di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam tempoh PKPP. FOTO Asyraf Hamzah
PELAJAR berbaris dengan penjarakan sosial ketika membeli makanan di kantin ketika tinjauan di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam tempoh PKPP. FOTO Asyraf Hamzah

Bagaimanapun katanya, hanya sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar sahaja dibenarkan dibuka manakala premis tidak berdaftar perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa agama negeri.

Tambah beliau, madrasah tahfiz berkenaan juga perlu mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, mesyuarat khas juga bersetuju membenarkan pusat tuisyen sekolah pendidikan khas dan institusi pendidikan swasta untuk beroperasi.

Katanya, surau sekolah turut diberi kebenaran untuk digunakan sewaktu sesi persekolahan dan perlu mengikut SOP terutama penjarakan sosial.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 3:18 PM