Foto hiasan
Foto hiasan
Nur Izzati Mohamad

SEMUA maahad tahfiz diminta mendaftar segera dengan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing supaya institusi mereka dibenarkan beroperasi semula dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pendaftaran boleh dibuat melalui Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara memerlukan semua maahad tahfiz meninggalkan cara lama dan perlu mengikuti normal baharu demi menjaga keselamatan.

"Kelulusan untuk mereka beroperasi adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Oleh itu, pendaftaran semua maahad tahfiz yang ingin beroperasi amat penting sekali gus membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf di Pulau Pinang dan majlis Penyerahan Bantuan Musa'adah Covid-19 di Pangsapuri Wakaf An Nur, Teluk Air Tawar, Butterworth hari ini.

Sebelum itu, Zulkifli mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas untuk menyampaikan hasrat dan memohon izin bagi perancangan penambahbaikan perjawatan berkaitan penyelidikan dan kefatwaan.

Menurutnya, pendaftaran semua maahad tahfiz adalah penting supaya mereka dapat menerima peruntukan daripada kerajaan setiap tahun.

"Kita sebenarnya saban tahun ada peruntukan kepada maahad tahfiz dan apabila mereka tidak berdaftar, jadi susah kita nak bagi (bantuan) sebab piawai itu tidak kena dan syarat tidak cukup.

"Sebab itu pendaftaran ini penting dan berharap semua dapat penuhi SOP supaya sama-sama kita gerak dalam berganding bahu dalam keadaan yang lebih tepat dan semangat serta mengikut apa yang dihasratkan ketika kita cuba menamatkan rangkaian Covid-19," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula.

Bagaimanapun, tarikh pembukaannya akan diumumkan oleh KPM selain menetapkan hanya maahad tahfiz berdaftar sahaja dibenarkan dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 5:25 PM