Balqis Jazimah Zahari


"SAYA sedih melihat Aiman memeluk kaki ibu saudaranya yang memakai baju dan tudung arwah ibunya sambil memanggil ummi," kata Saamah Mahmood, nenek kepada Ammar Aiman Abdul Hakim, 4, iaitu satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 74 Jalan Ipoh-Gerik dekat Kuala Kangsar pada 19 Jun lalu.

Dalam kemalangan itu, ibu, bapa dan adik Aiman iaitu Nurul Huda Arifin, 31, Abdul Hakim Hashim, 32, dan Adib Aidan, 2, maut selepas Toyota Vios dinaiki mereka bertembung Toyota Hilux dipercayai dipandu di bawah pengaruh dadah.

Saamah, 69, iaitu ibu kepada Nurul Huda berkata, Aiman kerap dilihat tercari-cari ibu, bapa dan adiknya.

"Seminggu itu selepas kejadian, Aiman tidak menangis cuma dia akan bertanya mana ummi, abah dan adiknya.

"Apabila ternampak barang peninggalan arwah, dia akan beritahu 'ini kasut abah', mungkin dia tidak faham tetapi kami sentiasa berterus-terang bahawa mereka semua sudah tiada," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada waris keluarga Allahyarham di Felda Trolak Timur, Sungkai, hari ini.

Cek disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed kepada waris tunggal mangsa nahas berkenaan.

Saamah berkata, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada Perkeso yang prihatin membantu waris arwah.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, semakan mendapati Allahyarham Nurul Huda dan Abdul Hakim adalah pencarum Perkeso dan melayakkan waris tunggal mereka Ammar Aiman menerima pencen penakat sejumlah RM1,995.25 sebulan bermula Jun sehingga berusia 21 tahun.

"Ibu bapa kepada Allahyarham Nurul Huda dan Abdul Hakim masing-masing menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000," katanya.

Beliau berkata, selain itu, Ammar Aiman akan dijadikan anak angkat Perkeso menerusi Program Prihatin Keluarga Angkat Perkeso (Protek).

"Aiman akan dipantau dan diberi bantuan dari segi keperluan pembelajaran sehingga berusia 21 tahun termasuk bayaran tuisyen.

"Protek akan memastikan keperluan dan kebajikan anak ini terpelihara agar dapat membesar dengan baik dan tidak terabai," katanya.

Harian Metro melaporkan tiga beranak maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di KM74, Jalan Ipoh-Gerik berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, jam 10.30 malam, 19 Jun lalu.

Berita berkaitan

Nafi menyebabkan kematian tiga beranak [METROTV]

Atuk, nenek akan jaga cucu yatim piatu

Arwah Nurul Huda hamil lima bulan

Tiga beranak maut dalam kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 2:42 PM