Keadaan bumbung SMK Datok Lokman Desa Pandan  yang rosak akibat ribut. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Keadaan bumbung SMK Datok Lokman Desa Pandan yang rosak akibat ribut. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Kerja baik pulih bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Desa Pandan, di sini, yang terjejas akibat ribut, Sabtu lalu, akan segera dilakukan berikutan membabitkan kelas pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bencana terbabit merosakkan 12 kelas yang digunakan hampir 500 pelajar tingkatan empat dan lima.

"Saya sudah minta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menyediakan surat komprehensif dan selepas ini, saya akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan supaya segera membaik pulih demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.

"Kerosakan itu perlu dibaiki segera dan tidak boleh biarkan sekolah dalam keadaan ini kerana menunggu peruntukan diterima, kerosakan akan bertambah, mungkin selepas ini sistem pendawaian pula rosak jika hujan berterusan kerana tiada bumbung," katanya yang melakukan tinjauan di SMK Datok Lokman, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua PIBG sekolah terbabit, Saberi Ali.

Difahamkan sekolah yang mempunyai 1,107 pelajar itu pernah dilanda ribut pada 21 April tahun lalu yang menjejaskan blok pentadbiran dan 11 kelas.

Johari berkata, selain kerja baik pulih, pihak berkaitan perlu melakukan pemeriksaan teliti untuk mengenal pasti punca bumbung tercabut memandangkan hanya sekolah itu yang terkesan.

Sementara itu, Saberi berkata, pihaknya berharap kerja pembaikan dapat dilakukan segera.

Menurutnya, ibu bapa juga risaukan keselamatan anak kerana bimbang insiden bumbung tercabut berulang.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 1:28 PM