RADZI melawat SMK Padang Enggang bagi memantau persiapan pembukaan sekolah. FOTO Facebook Radzi Jidin
RADZI melawat SMK Padang Enggang bagi memantau persiapan pembukaan sekolah. FOTO Facebook Radzi Jidin
Nor Fazlina Abdul Rahim


MENTERI Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin hari ini melawat beberapa sekolah di Kelantan bagi membuat pemantauan persiapan pembukaan sekolah pada 24 Jun ini.

Antara sekolah yang dilawati adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Enggang, SMK Ketereh, SMK Kadok dan Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pahlawan.

"Hari ini saya memulakan pemantauan persiapan pembukaan sekolah. Program pemantauan ini amat penting bagi memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dipraktikkan sebaik mungkin.

"Sekiranya ada ruang untuk ditambah baik, kami akan maklumkan kepada pihak sekolah.

"Saya mulakan pagi ini di SMK Padang Enggang, Kota Bharu, sebelum ke beberapa buah sekolah lagi sepanjang hari.

"InsyaAllah, kita sama-sama buat yang terbaik bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah, apabila sesi persekolahan dimulakan semula nanti," katanya menerusi Facebook.

Pada masa sama, Radzi melawat SK Desa Pahlawan di Ketereh untuk melihat pembangunan dewan sekolah yang beliau usahakan ketika berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kementerian Pendidikan menetapkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan awam adalah pada 24 Jun ini.

Sesi persekolahan itu membabitkan murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Berita berkaitan:

  • Teruja terima kehadiran pelajar semula
  • Tambah kelas pelajar Tingkatan Lima, Enam
  • 500,444 pelajar akan kembali bersekolah [METROTV]
  • Sesi persekolahan pelajar Tingkatan 5 dan 6 bermula 24 Jun [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 5:31 PM