SEORANG wanita mengacukan pisau pemotong daging ke arah King Sing dan pegawai pihak berkuasa bagi menghalang tanamannya dimusnahkan untuk projek perparitan. FOTO Melvin Joni
SEORANG wanita mengacukan pisau pemotong daging ke arah King Sing dan pegawai pihak berkuasa bagi menghalang tanamannya dimusnahkan untuk projek perparitan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


SEORANG wanita mengeluarkan pisau pemotong daging untuk mengugut Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan pegawai pihak berkuasa supaya tidak mengganggu tanamannya yang ditanam di tanah rizab kerajaan.

Kejadian yang tular itu berlaku apabila Tiong bersama pegawai pihak berkuasa terbabit datang ke rumah wanita berkenaan bagi membincangkan isu projek perparitan untuk menyelesaikan masalah banjir di Kidurong Avenue.

Tiong berkata, wanita itu menghalang projek perparitan berkenaan dilaksanakan menggunakan tanah yang digunakannya bercucuk tanam sedangkan tanah itu adalah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Semua penduduk di sana memberi kerjasama kecuali rumah tersebut.

"Apabila pihak berkuasa seperti JPS dan Pegawai Daerah sendiri turun padang untuk menyelesaikan masalah tersebut, mereka dimaki hamun dan diugut oleh wanita itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau kemudian datang setelah dihubungi dan apabila sampai, wanita itu mengeluarkan pisau dan melemparkan kata-kata kesat kepadanya dan rombongan termasuk polis.

Katanya, beliau cuba berbincang dan menyelesaikan masalah terbabit namun tindakan wanita itu melampaui batas.

Tiong berkata, pegawainya menghubungi polis untuk datang ke tempat kejadian dan tidak lama kemudian, suami wanita terbabit turut sampai.

"Suaminya memohon maaf atas apa yang berlaku dan berjanji akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan projek terbabit demi kesejahteraan penduduk di kampung itu.

"Kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa, apa kaum perlu menghormati undang-undang.

"Kita perlu hormat kepada Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 7:30 PM