Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing ketika ditemuramah pada Majlis Penghargaan Petugas PRK di Hotel Thistle, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing ketika ditemuramah pada Majlis Penghargaan Petugas PRK di Hotel Thistle, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Penganjur bagi mana-mana acara khususnya yang bertaraf antarabangsa perlu bersikap profesional dan bijak menangani sebarang permasalahan yang berlaku sepanjang penganjuran acara yang diadakan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan imej negara yang baik terjejas di mata dunia.

"Saya mahu beri pandangan dan nasihat kepada mana-mana penganjur terutama sekali jika menganjurkan program antarabangsa, pertama sekali mestilah kena jujur.

"Janganlah bila berlaku hal kecil pun, sampai boleh jadi satu pergaduhan besar sehingga baling kerusi, tumbuk menumbuk.

"Kalau ada apa-apa isu yang timbul, penganjur perlu bincangkan, duduk meja bulat, selesaikan masalah, jangan sehingga ada yang buat kecoh, ini jadikan imej negara yang baik terjejas di dunia," katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden kekecohan yang berlaku kelmarin, ketika penganjuran acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 yang berlangsung di Pantai Desaru, Kota Tinggi.

Tiong berkata, pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis memandangkan kertas siasatan berhubung kejadian itu sudah dibuka oleh pihak berkuasa.

"Saya belum terima laporan yang lebih terperinci, tetapi saya akan serahkan siasatan kes ini kepada pihak polis, biarlah polis ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 11:56 AM