YUSMAROSDI menunjukkan kesan hakisan tanah yang membimbangkan penduduk di Putera Jaya.
YUSMAROSDI menunjukkan kesan hakisan tanah yang membimbangkan penduduk di Putera Jaya.
Nurul Fatihah Sulaini

Permaisuri: Sikap lepas tangan pemaju tanah persendirian yang gagal menyediakan rizab perparitan menyebabkan penduduk di Putera Jaya di sini, menjadi mangsa keadaan.

Difahamkan, beberapa kawasan di situ berdepan ancaman hakisan tanah dan parit yang serius kerana tiada sistem perparitan teratur.

Wakil penduduk, Yusmarosdi Muhd Yusof, 42, berkata, masalah hakisan tanah itu semakin parah selepas banjir melanda pada awal tahun lalu.

“Selepas banjir, parit sepanjang lebih 500 meter itu pada awalnya bersaiz kecil namun kini semakin melebar dan menghakis kawasan tanah sekeliling rumah.

“Masalah hakisan juga bertambah parah apabila kolam takungan air ditambak untuk projek pembinaan,” katanya yang ditemui di rumahnya.

Menurutnya, dia membeli tanah di kawasan itu pada 2014 untuk membina rumah seterusnya mula tinggal di situ pada penghujung 2015.

“Pada awalnya pihak pemaju berjanji akan menguruskan permohonan membina saliran longkang dan jalan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi selepas itu janji hanya tinggal janji.

“Lebih menyedihkan satu lot tanah bersebelahan rumah saya langsung tidak dapat digunakan kerana menjadi tempat lencongan laluan air,” katanya.

Dia berkata, lima saluran air dibina dan satunya adalah daripada sumber dari mata air yang mengalir dari arah bukit menghala ke parit itu.

Menurutnya, apabila hujan lebat dan arus deras aliran air semakin kuat serta pernah mencecah ketinggian hingga dua meter menyebabkan hakisan tanah semakin menghampiri rumah.

“Saya terpaksa menambak sedikit tanah untuk mengelakkan hakisan semakin dekat dengan rumah kami hingga mengancam keselamatan keluarga.

“Saya sudah membuat aduan perkara ini kepada Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan masih menunggu jawapan dari mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, masalah itu sudah dikemukakan Mesyuarat Tindakan Daerah Setiu kepada Pejabat Daerah Setiu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri berkata, tindakan sedang diambil dan pengiraan kos turut dibuat untuk cadangan melaksanakannya.

“Pegawai Daerah sudah meneliti kes ini untuk Program Penyelenggaraan Jalan Negeri di bawah Jabatan Pengurusan Pelaksanaan (JPP) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pegawai Daerah Setiu Rosdi Awang, pula berkata, masalah itu didapati berpunca daripada sikap lepas tangan pemaju tanah di kawasan berkenaan.

“Selepas siasatan dilakukan, kawasan itu didapati tanah individu yang dipecah lot dan dijual, tetapi malangnya ia tiada rizab perparitan.

“Jadi pembeli tanah ini kena bincang sesama sendiri untuk menentukan lokasi parit perlu dibuat kerana sepatutnya pemaju yang menjual lot tanah perlu memastikan segala infrastruktur asas seperti jalan dan parit perlu disediakan seperti di dalam pelan sebelum menjual kepada pembeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 5:32 AM