FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Roji Kawi


Sibu: Polis Sarawak memantau rapi aktiviti pertaruhan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) yang akan diadakan 18 Disember ini.

Pesuruhjaya polis Datuk Aidi Ismail berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas dipertanggungjawabkan mengesan individu atau kumpulan yang terbabit perjudian itu.

"Polis sedia maklum perkara itu (pertaruhan keputusan pilihan raya) dan sentiasa memantau bagi mengesan mereka yang cuba menganjurkannya.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dan tindakan undang-undang menanti mereka yang didapati melakukannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidi berkata demikian mengulas dakwaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing mengenai aktiviti pertaruhan keputusan pilihan raya yang mula dikesan.

Tiong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Ahli Parlimen Bintulu mendakwa memperoleh maklumat berhubung aktiviti haram itu dan kaki judi turut menyasarkan kawasan yang ditandinginya.

"Lebih mengejutkan ia membabitkan saya kerana mereka mengatakan saya hebat lalu meletakkan pertaruhan berapa undi saya boleh dapat," kata Tiong.

PRN-12 Sarawak menyaksikan seramai 349 calon bertanding di 82 DUN dengan kerusi Dudong yang paling ramai calon iaitu lapan orang termasuk Tiong.

Selain itu pertandingan tujuh penjuru bakal berlangsung di enam kerusi, lima penjuru (24 kerusi), empat penjuru (33 kerusi), tiga penjuru (13 kerusi) dan satu lawan satu di empat kerusi.

Terdapat 10 parti bertanding dengan GPS selaku parti terbesar yang meletakkan calon di semua kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 8:50 AM