JENGKAUT digunakan bagi mengorek sampah yang memenuhi longkang yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Chuah, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
JENGKAUT digunakan bagi mengorek sampah yang memenuhi longkang yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Chuah, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


LONGKANG tersumbat menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat serta kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat sejak tengah malam tadi di Chuah, Port Dickson.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chuah, Michael Yek Diew Ching berkata, hujan lebat sejak malam tadi hingga pagi hari ini menjejaskan beberapa lokasi termasuk Kampung Bukit Pelandok, Kampung Baru Sungai Nipah dan Kampung India.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai banjir kilat turut berlaku di Tanah Perkuburan Hindu di Kampung India, kawasan kebun kelapa sawit dan kedai biskut tradisional di Kampung Bukit Pelandok.

"Susulan maklumat itu, saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati punca banjir disebabkan longkang tersumbat dan kebetulan air laut pasang besar.

"Disebabkan hujan lebat terlalu lama, air parit melimpah memasuki kawasan tanah perkuburan Hindu, kebun kelapa sawit dan kedai biskut tradisional di Kampung Bukit Pelandok.

"Tindakan segera terus diambil dengan menggunakan perkhidmatan jengkaut bagi mengorek parit di tempat berkenaan selain satu parit di Kampung India yang penuh dengan semak samun dibersihkan pada hari ini untuk memastikan kelancaran aliran air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 5:29 PM