MURID Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD) terpaksa pulang awal ke rumah kerana kelas dinaiki air hampir 0.5 meter, semalam. Foto STR/MOHD KHIDIR ZAKARIA
MURID Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD) terpaksa pulang awal ke rumah kerana kelas dinaiki air hampir 0.5 meter, semalam. Foto STR/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


SEBANYAK 56 keluarga terjejas akibat banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Port Dickson, Sabtu lalu menerima bantuan kit banjir daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, semua mangsa yang terjejas dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan diberi bantuan sewajarnya.

“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, kumpulan pertama membabitkan 56 keluarga iaitu 25 keluarga dari Site A Chuah dan Kampung Batu 7, Lukut (21) sudah menerima bantuan.

“Kit banjir itu adalah barang keperluan asas seperti tilam, selimut dan makanan kering yang diberikan terus kepada mangsa sebagai bantuan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Michael Yek Diew Ching yang diadakan serentak dengan jamuan hari raya di Bukit Pelandok di Port Dickson semalam.

Turut hadir, ADUN Lukut, Choo Ken Hwa; Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Zamri Mat Kasim.

Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, lebih 56 rumah di beberapa kawasan di Port Dickson termasuk Chuah dan Lukut, dinaiki air sehingga mencecah satu meter selepas hujan lebat selama hampir tiga jam.

Sementara itu, Yek berkata, punca masalah banjir kilat di kawasan terbabit sudah dikenal pasti iaitu disebabkan sungai dipenuhi sampah serta mendapan, mengakibatkannya menjadi cetek selain aliran air tersekat.

"Kerja pembersihan dan pendalaman sungai akan dilakukan dengan segera.

"Masalah ini perlu diselesaikan kerana saya mahu memperhebatkan industri eko-pelancongan di kawasan ini. Kita boleh menjadikan Chuah sebagai kawasan strategik eko-pelancongan terbaharu di Port Dickson," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 11:29 AM