Kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin, Butterworth dinaiki air susulan hujan lebat pagi ini. FOTO ihsan bomba
Kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin, Butterworth dinaiki air susulan hujan lebat pagi ini. FOTO ihsan bomba
Zulfa Mohamad


PENDUDUK sekitar Mak Mandin, Butterworth terutama Kampung Baru atau Kampung 1Malaysia sudah mangli dengan banjir kilat kerana kawasan berkenaan sering dinaiki air setiap kali hujan lebat selama dua jam.

Selain kawasan kediaman, ramai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin juga tidak ke sekolah hari ini berikutan ia turut dinaiki air 0.3 meter.

Longkang sedia ada tidak mampu menampung lebihan air hujan menyebabkan air memasuki kawasan kampung dan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mak Mandin Samsudin Mat berkata, penduduk tidak dapat mengelak kejadian banjir setiap kali hujan lebat dan ia berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, kedudukan kampung dan sekolah yang agak rendah menyebabkan air hujan mudah bertakung, malah beberapa kilang berhampiran turut menjadi ‘mangsa’.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) baru melaksanakan projek bagi membaiki sistem saliran sekitar Mak Mandin tetapi belum siap.

“Parit sedia ada tidak mampu menampung lebihan air menyebabkan banjir berlaku,” katanya.

Difahamkan, hampir setiap tahun, kawasan Mak Mandin dilanda banjir dengan kali terakhir pada November lalu dan terbaru hari ini.

Samsudin berkata, kawasan Rumah Hijau Mak Mandin turut sering dinaiki air tetapi ramai penduduk sudah berpindah ke Pangsapuri Ampang Jajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 11:49 AM