SUSPEK yang ditahan kerana cuba memberi suapan RM500 kerana melindungi Pati. FOTO Ihsan PGA
SUSPEK yang ditahan kerana cuba memberi suapan RM500 kerana melindungi Pati. FOTO Ihsan PGA
Norsyazwani Nasri


PEMILIK premis yang melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan ketika cuba menyogok RM500 kepada anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching, semalam.

Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Batalion 11 PGA Kuching membuat pemeriksaan ke atas premis di Kampung Entubuh Tebedu, Serian, selepas disyaki dijadikan tempat transit keluar dan masuk warga Indonesia melalui jalan tikus pada 11 pagi.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, hasil pemeriksaan dan kenyataan pemilik premis lelaki tempatan itu, pasukan serbuan menjumpai barang milik warga Indonesia yang diletakkan di bawah jagaannya.

"Bagi mengelak ditangkap, pemilik premis menawarkan wang suapan sebanyak RM500 kepada ketua serbuan agar tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Berikutan itu, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2020," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada pihak SPRM Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, Op Benteng Covid-19 itu dijalankan untuk mengesan tempat disyaki menjadi transit tekong darat yang menyeludup Pati di kawasan sempadan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 12:03 AM