PELBAGAI rokok putih dan kretek yang dirampas menerusi dua operasi berasingan yang dijalankan oleh PGA Sarawak bersama SPRM. FOTO MELVIN JONI
PELBAGAI rokok putih dan kretek yang dirampas menerusi dua operasi berasingan yang dijalankan oleh PGA Sarawak bersama SPRM. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas 3,805 karton rokok putih dan kretek dianggarkan bernilai RM560,000 dalam serbuan ke atas dua premis di Kuching, hari ini.

Operasi dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak itu turut menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok berkenaan.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira 8.30 pagi dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Desa Wira, Batu Kawa.

"Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menjumpai 2,886 karton rokok pelbagai jenis yang disyaki tidak bercukai dengan anggaran nilai RM429,000 termasuk cukai.

"Seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang juga pemilik rokok itu turut ditangkap," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, tangkapan kedua dibuat pada 12.30 tengah hari, hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan di Taman Desa Wira, Batu Kawa.

Katanya, pemeriksaan menjumpai sejumlah 919 karton rokok dengan anggaran nilai RM132,586 termasuk cukai.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 52 tahun turut ditahan.

Mancha berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk tindakan selanjutnya.

Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau 10 kali ganda nilai duti atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 7:11 PM