INDIVIDU yang ditahan ketika cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus. FOTO Melvin Joni
INDIVIDU yang ditahan ketika cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menahan seorang warga emas ketika cuba menyeludup masuk dua pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini.

Komander PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, lelaki berusia 65 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu kira-kira 11 malam semalam.

"Semasa menjalankan rondaan keselamatan di sekitar ICQS Tebedu, anggota Batalion 11 PGA Batu Kawa telah menahan seorang lelaki tempatan yang membawa dua warga Indonesia menggunakan kereta.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua warga Indonesia terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kesemua suspek diserahkan kepada Balai Polis Tebedu untuk tindakan dan kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang Dan Penyelududpan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

Selain itu, Mancha berkata, PGA Briged Sarawak semalam turut menggagalkan cubaan masuk tiga lelaki warga Indonesia menerusi jalan tikus di sempadan Biawak, Lundu.

Katanya kesemua Pati itu ditahan 8.15 pagi dalam Operasi Benteng Covid-19 yang dijalankan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

"Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Ketua serbuan telah mengarahkan mereka berpatah balik ke Indonesia menggunakan laluan yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 12:38 PM