PENYELUDUP Pati bersama Pati yang ditahan PGA.  FOTO Melvin Joni
PENYELUDUP Pati bersama Pati yang ditahan PGA. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya memberkas Geng Adi Tailo, satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bergiat aktif di Sarawak.

Komander Briged PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, kumpulan itu juga mempunyai rangkaian dengan sindiket pemerdagangan orang dari Indonesia yang dikenali kumpulan Feri Yeni.

Katanya, kejayaan itu dicapai hasil serbuan ke atas tiga kenderaan di tempat letak kereta sebuah hotel di Batu 3, di sini, semalam yang membawa kepada penahanan 17 Pati termasuk seorang kanak-kanak lelaki.

"Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga kenderaan itu berjaya menahan seramai 17 Pati, iaitu sembilan lelaki dan lapan wanita," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mancha berkata, pada awalnya, ketiga-tiga kenderaan terbabit diekori Pasukan Khas PGA Sarawak selepas disyaki membawa masuk Pati menerusi kawasan Biawak, Lundu sekitar 1 tengah hari.

Beliau berkata, sindiket itu cuba membawa kesemua Pati ke hotel yang dipercayai sebagai transit sebelum dihantar ke Sibu, Tatau dan Bintulu.

Katanya, pasukan serbuan turut berjaya menahan empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia, dipercayai tekong bagi kegiatan penyeludupan Pati berkenaan.

"Suspek warga Indonesia iaitu dalang utama sindiket juga berjaya ditangkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 8:03 PM