Zarina sebak menatap gambar Allahyarham Muhamad Hafiz yang meninggal dunia di HSNZ Kuala Terengganu selepas disyaki dijangkiti kencing tikus. Foto Mohd Rafi Mamat
Zarina sebak menatap gambar Allahyarham Muhamad Hafiz yang meninggal dunia di HSNZ Kuala Terengganu selepas disyaki dijangkiti kencing tikus. Foto Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

ALLAHYARHAM Muhamad Hafiz Ismail yang meninggal dunia pada Isnin lalu kerana dipercayai dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus memaklumkan kepada ibunya mahu ke hutan di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut bagi menenangkan fikiran selepas penat bertugas sebagai anggota 'frontliner' Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 18 Mac lalu.

Ibunya, Zarina Yong, 47, berkata, anaknya berusia 30 tahun itu yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Persekitaran di Klinik Kesihatan Dungun beritahu kepadanya mahu masuk ke hutan selama enam hari bersama 14 rakannya.

Menurutnya, selepas pulang dikatakan tahap kesihatannya terjejas hingga terpaksa mendapat rawatan di Hospital Dungun pada Sabtu lalu.

"Keadaannya yang semakin lemah membuatkan pihak hospital merujuknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Saya difahamkan Allahyarham dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus yang menyebabkan sistem dalamannya gagal berfungsi, empat rakannya juga mengalami gejala yang sama dan kini sedang dirawat di HSNZ," katanya ketika ditemui di Kuantan hari ini.

Menurutnya, dia reda dengan apa yang berlaku namun agak terkilan apabila doktor yang merawatnya di Dungun membenarkan Muhamad Hafiz pulang selepas mendapatkan pemeriksaan sebelum dikejarkan ke HSNZ apabila keadaannya semakin serius.

"Sejak kebelakangan ini Allahyarham seolah-olah cuba menjauhkan diri daripadanya dan keluarga apabila jarang pulang ke kampung berbanding kebiasaannya.

"Kali terakhir saya bertemunya pada Mac lalu apabila dia pulang ke kampung dan selepas itu kami hanya berhubung secara panggilan video hampir setiap minggu," katanya.

Zarina yang menetap di Kampung Bukit Kuin berkata, dia sempat bertemu anaknya itu ketika sedang dirawat di HSNZ, Kuala Terengganu pada Ahad lalu tetapi keadaannya sudah kritikal.

Menurutnya, harapannya untuk melihat Muhamad Hafiz menjadi ketua keluarga tidak kesampaian selepas suaminya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, episod berdarah yang menyebabkannya kehilangan suami, Ismail Yaakob dan tiga anak iaitu Nur Ain Hafizah dan pasangan kembar Nur Ain Hanifah dan Muhamad Hanif selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik, Perak masih lagi segar dalam ingatan.

"Saya perlu terus kuat semangat dan menganggap apa yang berlaku ini merupakan ujian yang begitu berat untuk dihadapi, empat daripada enam anak saya terlebih dahulu meninggalkan saya.

"Saya kini hanya mempunyai dua anak sahaja lagi (Nur Ain Hafizah, 16, dan Muhamad Haris, 29) sebagai penyeri hidup, hanya keimanan yang kuat sahaja menjadi bekalan untuk saya meneruskan kehidupan," katanya.

Semalam dilaporkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak mengesahkan meninggal dunia dipercayai kerana dijangkiti kencing tikus.

Berita berkaitan

1 meninggal dunia, 2 dirawat disyaki dijangkiti kencing tikus

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:29 PM