FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


KERAJAAN negeri Terengganu tidak bercadang menutup pusat rekreasi, terutama kawasan perkelahan air terjun walaupun berlaku kes kematian disebabkan leptospirosis atau kencing tikus di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pusat rekreasi perkelahan terutama kawasan air terjun di negeri ini adalah di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan negeri.

"Jabatan Perhutanan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diminta melakukan pembersihan bagi memastikan kawasan rekreasi di negeri ini sentiasa bersih," katanya ketika ditemui selepas melancarkan sistem MASUK.LA di pusat membeli belah Kuala Terengganu (KTCC), hari ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika mengulas seorang lelaki meninggal dunia, manakala empat lagi individu berusia antara 30 hingga 32 tahun, dari Dungun, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dijangkiti kencing tikus selepas didakwa menyertai aktiviti rekreasi di pusat perkelahan air terjun di negeri ini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 29 tahun yang meninggal dunia disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dijangkiti kencing tikus melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut, Pahang.

Ariffin menegaskan, orang ramai diminta mengutamakan kebersihan ketika berkelah di kawasan rekreasi di negeri ini.

Katanya, pihak berkenaan menyediakan tong sampah di semua pusat rekreasi termasuk di kawasan perkelahan air terjun.

Mengulas mengenai sistem MASUK.LA, yang dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Industri Sdn Bhd, Ariffin menjelaskan, sistem itu bertujuan merekodkan kehadiran pengunjung di premis kerajaan, rumah ibadat dan premis perniagaan.

Jelasnya, sistem itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri untuk mengawal pandemik Covid-19.

"Melalui sistem itu, pengunjung ke premis berkenaan hanya perlu mengimbas kod QR disediakan bertujuan mengesahkan kehadiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 2:26 PM