Foto hiasan
Foto hiasan
Ahmad Rabiul Zulkifli

SEORANG meninggal dunia dan dua lagi dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sejak Ahad lalu selepas disyaki dijangkiti penyakit leptospirosis atau kencing tikus.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, pihaknya difahamkan tiga orang itu mempunyai simptom penyakit seperti demam dan sakit badan selepas berkunjung dan mandi di Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Bangan di Dungun.

"Ujian darah sudah diambil untuk mengenal pasti penyakit sebenar.

"Kita tidak dapat mengesahkan lagi sama ada mereka dijangkiti penyakit kencing tikus atau penyakit lain.

"Bagaimanapun, berdasarkan tanda-tanda penyakit yang dihidapi kesemua mangsa memang sama seperti penyakit kencing tikus," katanya ketika ditemui di majlis Ramah Mesra Aidilfitri Media hari ini.

Alias berkata, dia berharap orang awam dan pelancong tidak menjalankan aktiviti berkelah dan mandi di mana-mana taman rekreasi di negeri itu.

"Sekarang musim kemarau, kebarangkalian untuk berlaku atau dijangkiti penyakit kencing tikus itu tinggi sekiranya mandi di kawasan air terjun yang berlopak.

"Oleh itu, saya berharap orang ramai tidak mengambil risiko menjalankan aktiviti mandi atau berkelah di kawasan air terjun sekarang.

"Aktiviti berkelah dan berkumpul dalam jumlah yang ramai itu tidak dibenarkan lagi mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Menurutnya, risiko dan kes kematian akibat penyakit kencing tikus tinggi oleh itu orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan mengelak daripada terdedah dengan jangkitan penyakit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 3:26 PM