GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


ORANG ramai perlu melaporkan sebarang aktiviti perjudian secara dalam talian kepada pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.

"Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun banyak kes yang membabitkan judi diambil tindakan oleh polis.

"Cuma kita minta supaya orang ramai membantu polis di dalam mengambil tindakan ini," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas mengenai perjudian atas talian dan nombor ekor haram yang didalangi warga tempatan dan China dilihat semakin bermaharajalela dan dikatakan mengaut laba jutaan ringgit setiap hari.

Kegiatan itu yang memiliki rangkaian antarabangsa dan organisasi tersusun dilihat memperhebatkan promosi melalui laman sosial untuk menarik kaki judi tempatan.

Malah, penutupan premis judi dan nombor ekor berlesen disebabkan penularan wabak Covid-19 menyebabkan mereka menguasai pasaran tempatan hingga dilapor mampu mengaut lebih RM100 juta dalam tempoh dua bulan sejak Mac lalu tanpa perlu membayar cukai kepada kerajaan.

Ismail Sabri berkata, orang ramai perlu melaporkan segera kepada polis sekiranya mengetahui mengenai kegiatan itu.

Beliau yakin polis akan mengambil tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 4:27 PM