GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEJUMLAH 1,777 laman sesawang judi dalam talian yang dikesan aktif pada 2009 hingga kini disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tindakan dilakukan susulan permohonan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

SKMM dalam kenyataannya berkata, kerjasama dengan PDRM sedia terjalin dalam membanteras kegiatan itu meliputi aspek perkongsian maklumat, forensik digital dan sekatan laman sesawang.

"Usaha dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa berlandaskan permohonan daripada pihak polis dan maklumat serta aduan yang diterima daripada masyarakat," katanya.

Kenyataan itu memberi reaksi bagi mengulas laporan ekslusif Harian Metro Isnin lalu yang melaporkan perjudian atas talian dan nombor ekor haram yang didalangi warga tempatan dan China dilihat semakin bermaharajalela dan dikatakan mengaut laba jutaan ringgit setiap hari.

Kegiatan itu yang memiliki rangkaian antarabangsa dan organisasi tersusun dilihat memperhebatkan promosi melalui laman sosial untuk menarik kaki judi tempatan.

Malah, penutupan premis judi dan nombor ekor berlesen disebabkan penularan wabak Covid-19 menyebabkan mereka menguasai pasaran tempatan hingga dilapor mampu mengaut lebih RM100 juta dalam tempoh dua bulan sejak Mac lalu tanpa perlu membayar cukai kepada kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 5:45 PM