GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


LELAKI Myanmar maut ditikam rakan senegara di sebuah rumah kedai dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja dekat Kampung Juru, Bukit Mertajam, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 12.20 tengah malam memaklumkan bahawa sekumpulan pekerja sedang bergaduh.

"Dalam pergaduhan itu, seorang daripada mereka bertindak menikam dada dan bahu kiri mangsa dengan pisau pemotong sayur.

Akibatnya, mangsa yang dikenali sebagai Amko berusia lingkungan 30-an berlumuran darah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, pemeriksaan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan itu mendapati empat lelaki Myanmar melarikan diri dengan menunggang basikal.

"Majikan mereka iaitu wanita yang menghubungi polis berhubung insiden itu memberitahu bahawa terdapat lima pekerjanya tinggal di rumah terbabit termasuk mangsa.

"Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek yang menikam mangsa apabila dia pulang ke rumah pada 5.45 pagi tadi.

"Suspek mengakui dia yang menikam mangsa sebelum membawa lari senjata itu dan dibuang berdekatan taman rekreasi.

"Suspek memaklumkan dia tidak tahan dengan kelakuan mangsa yang mabuk dan bising menyebabkan mereka bergaduh sebelum berlaku kejadian di luar jangka," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 11:05 AM