Nur Izzati Mohamad


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun berdepan detik cemas apabila dia nyaris diperkosa kenalan keluarganya yang mabuk dalam kejadian di rumahnya di Bukit Mertajam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima panggilan telefon daripada pihak Hospital Bukit Mertajam (HBM) pada 10.45 malam berhubung insiden berkenaan.

"Polis dimaklumkan bahawa dalam kejadian itu, mangsa dihampiri suspek lelaki berusia 24 tahun yang berada dalam keadaan mabuk dan datang ke belakang rumah mangsa untuk meminta air.

"Mangsa memberikan air kepada suspek namun lelaki itu bertindak di luar jangka apabila dia menutup mulut dan mengheret mangsa ke kawasan berpasir sejauh lima meter di belakang rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek kemudian mencederakan mangsa dengan menggigit muka mangsa namun mangsa bertindak melawan lelaki itu sebelum diraba suspek.

"Mangsa kemudian menjerit sekuat hati hingga didengari neneknya lalu suspek yang ketakutan melarikan diri.

"Suspek juga dikatakan kenalan keluarga mangsa. Kanak-kanak itu dibawa ahli keluarganya ke HBM untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kelopak mata sebelah kanan dan terdapat kesan calar pada bahagian muka mangsa.

"Pemeriksaan oleh bahagian kanak-kanak pula mendapati tiada sebarang kesan koyakan pada selaput dara mangsa dan dia kini berada di Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemantauan," katanya.

Shafee berkata, polis sudah menahan suspek semalam dan dia kini direman selama tujuh hari hingga Khamis depan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 3:23 PM