Gambar fail, Imam Masjid Negeri Perak, Ustaz Muhammad Haikal Mohd Ayob, 30, membuka pintu utama Masjid Sultan Idris Shah II berikutan kebenaran bersolat jemaah. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Gambar fail, Imam Masjid Negeri Perak, Ustaz Muhammad Haikal Mohd Ayob, 30, membuka pintu utama Masjid Sultan Idris Shah II berikutan kebenaran bersolat jemaah. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEMUA masjid dan surau di Perak dibenarkan dibuka pada Jumaat ini dengan bilangan jemaah ditambah kepada 40 orang tidak termasuk ahli jawatankuasa (AJK).

Ia susulan kelonggaran diberi kerajaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini hingga 31 Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan memberi kebenaran itu selepas mempertimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNPk).

"Masjid dan surau boleh menunaikan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dengan bilangan jemaah ditetapkan 40 orang (daripada 12 orang sebelum ini) bagi kedua-duanya tidak termasuk pegawai masjid mahupun AJK.

"Namun, setakat ini kebenaran hanya kepada warganegara Malaysia dengan identiti jemaah yang hadir mesti disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruangan solat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penggunaan masjid dan surau untuk pelaksanaan solat berkenaan hendaklah mematuhi garis panduan dan prosedur ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan garis panduan terkini itu dan semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau wajib menyelia serta memastikan ia dipatuhi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 9:41 AM