Gambar fail, Arkib NSTP.
Gambar fail, Arkib NSTP.
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan penambahan bilangan jemaah untuk solat Jumaat dan fardu di masjid seluruh negeri itu bermula esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan hari ini berkata, baginda berkenan membenarkan 250 orang berbanding 40 jemaah menghadiri Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) untuk solat Jumaat tidak termasuk pegawai dan Ahli Jawatankuasa (AJK).

Manakala, bagi solat fardu berjemaah, kehadiran jemaah dinaikkan sehingga 150 orang di 38 masjid.

"Baginda juga mengizinkan semua masjid yang berada dalam Zon Hijau untuk mengadakan solat Jumaat, sementara solat fardu berjemaah hanya untuk Subuh, Maghrib dan Isyak.

"Untuk masjid di zon hijau, jemaah dihadkan kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid.

"Segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran berkaitan titah Sultan Selangor ini akan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan jawatankuasa masjid berkaitan.

"Seiring keputusan ini, baginda menitahkan agar setiap jemaah wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JAIS, khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, pemakaian pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial," katanya.

Mohamad Munir berkata, bagi jemaah yang tidak sihat dilarang sama sekali untuk bersolat di masjid.

Dalam pada itu, ibadat korban di Selangor hanya boleh diadakan di kawasan masjid yang akan ditetapkan.

"Baginda mengizinkan ibadat hanya di kawasan Masjid Negeri, 38 masjid yang dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu serta masjid di zon hijau.

"Korban tidak boleh dilakukan di surau dan orang ramai digalakkan menunaikan ibadat itu di masjid dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 11:30 AM